KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai untuk menghayati sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan menzahirkan penghargaan kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara serta tokoh seni yang mengangkat budaya bangsa di persada dunia.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Ahmad Zahid berkata mereka ialah lambang keutuhan semangat patriotisme yang mencerminkan keberanian, kegigihan dan cinta akan tanah air yang tidak berbelah bahagi.
“Semangat juang ini ialah terjemahan nilai kemerdekaan sebenar, bersatu padu dalam kepelbagaian, berpadu tenaga menjulang nama Malaysia. Setiap sorakan di stadium, setiap alunan karya seni dan setiap denyut nadi rakyat yang bersatu, semuanya mengangkat erti kemerdekaan yang sejati.
“Bersempena dengan Bulan Kebangsaan ini, marilah kita terus menyemarakkan semangat cintakan tanah air dengan tekad untuk bersama-sama membina Malaysia MADANI yang lebih maju, berdaya tahan dan disegani di mata dunia. Merdeka! Merdeka! Merdeka!” katanya.
Menerusi hantaran itu, Ahmad Zahid turut berkongsi video pendek memaparkan kejayaan beberapa atlet negara termasuk Datuk Seri Lee Chong Wei dan Datuk Azizulhasni Awang serta tokoh seni seperti Datuk Michelle Yeoh dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial