PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak untuk bersabar dalam menunggu keputusan laporan perubatan berkaitan kes anak lelaki bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Roche (Malaysia) Sdn Bhd bagi inisiatif Penjagaan Kanser Lebih Dekat dengan Komuniti (CCC) di sini hari ini, Dzulkefly berkata perkara itu masih dalam peringkat siasatan dan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.
“Perkara ini sesuatu yang akan memerlukan masa untuk siasatan dan rawatan, kita perlu mengizinkan siasatan itu berada atas landasannya.
“Kita kena bersabar sedikit untuk mendapatkan satu dapatan dan hasil yang saya yakin dapat mengadili perkara ini dengan baik,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang di kawasan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di sini kira-kira 2 petang pada 13 Ogos lepas.
Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripada mereka bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan.
Pada Jumaat lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata polis telah mengambil keterangan 19 individu termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
Mohd Khalid berkata polis masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital berkaitan cecair yang disuntik kepada anak Rafizi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial