SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- Umat Islam diingatkan berwaspada dan tidak terjebak dengan program motivasi berunsur metafizik yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Siti Razmah Idris berkata ini kerana sebahagian program motivasi kini diserap dengan unsur luar yang rosak seperti fahaman Gerakan Era Baharu atau ‘New Age Movement’ menerusi rawatan alternatif, pembangunan diri dan spiritual.
Beliau berkata ahli sufi Sunnah Wal Jamaah berteraskan al-Quran, sunnah dan turath ulama muktabar merupakan jalan sebenar yang perlu dipilih dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.
"Pendekatan psikospiritual dalam tasawuf yang melibatkan amalan seperti tazkiyah al-Nafs, zikir, muqarabah serta pengenalan terhadap maqam kerohanian adalah alternatif yang seimbang dan sah untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.
"Ia tidak hanya menjaga akidah tetapi juga mendidik jiwa agar kembali kepada Allah dengan penuh adab dan rasa kehambaan," katanya ketika berucap merasmikan Diskusi Isu Semasa: Pendedahan Gerakan Era Baharu dalam Motivasi Islam di sini hari ini.
Siti Razmah berkata jika tidak berwaspada, masyarakat boleh terjebak dengan program motivasi berunsur metafizik yang tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar yang kini menular dalam kursus atau program pembangunan kendiri.
"Sebahagian program motivasi kini telah diserap dengan unsur luar yang telah merosakkan program motivasi itu sendiri seperti fahaman New Age Movement yang menyusup dalam masyarakat Islam melalui platform motivasi, pembangunan diri, spiritual dan rawatan alternatif.
"Gerakan ini membawa unsur bercanggah dengan akidah Islam seperti ‘pantheisme’, reinkarnasi, pluralisme agama, penyelewengan wahyu serta syariat, dan lebih membimbangkan ia turut menyasarkan belia serta pelajar," katanya.
Siti Razmah berkata bergiat aktif dalam industri motivasi sama ada sebagai penganjur, penceramah atau peserta bukan satu kesalahan selagi tidak bertentangan dengan ajaran dan kehendak agama Islam.
Terdahulu, majlis itu menyaksikan pembentangan tiga kertas kerja iaitu ‘Ciri-Ciri New Age Movement dan Penyusupannya Dalam Motivasi, Bahaya New Age Movement Terhadap Akidah Umat Islam dan Panduan Mengenali Motivasi Islam Yang Sebenar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial