IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah Azman kini diserahkan sementara kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tujuan pendigitalan dan pameran umum.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata naskhah itu bukti ketekunan dan kesungguhan Allahyarham menyalin ayat-ayat suci al-Quran sepanjang tempoh pengajiannya di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
"Proses pendigitalan bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang di samping menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi bagi dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan.
“Selain itu, pendigitalan ini juga memberi ruang kepada masyarakat umum, pelajar serta penyelidik untuk mengakses dan merujuk naskhah tersebut tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ketua Pustakawan UPSI Noriha Muhammad dalam kenyataan sama berkata kerja pendigitalan dilaksanakan sepenuhnya oleh petugas Perpustakaan Digital UPSI (UDL) menggunakan imej resolusi tinggi supaya setiap helaian direkodkan dengan tepat dan jelas.
Noriha berkata proses pendigitalan mushaf al-Quran Nurly itu dilaksanakan dengan beberapa tujuan utama iaitu memastikan naskhah tulisan tangan tersebut dapat dipelihara dengan baik untuk jangka masa panjang sekali gus mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia, persekitaran atau penggunaan berulang.
"Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham Nurly Shahirah," katanya.
Beliau berkata bagi memberi peluang kepada warga kampus dan masyarakat umum mengenali lebih dekat khazanah berharga itu, mushaf al-Quran Nurly dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula 25 Ogos hingga 2 Sept 2025.
Noriha berkata pameran itu membuka ruang kepada orang ramai yang sebelum ini mempunyai kekangan untuk melihat naskhah tersebut di Besut, Terengganu, menelusuri sendiri hasil usaha seorang anak muda yang gigih menulis keseluruhan mushaf al-Quran beliau.
"Pameran ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran, malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarham Nurly Shahirah, di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai al-Quran serta menjadikannya sebagai sumber motivasi dalam pengajian dan kehidupan seharian," katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, Nurly Shahirah dan 14 lagi pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial