AM

MRL Tanam 3,000 Anak Pokok Di Hutan Simpan Kekal Lentang

24/08/2025 05:11 PM

KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menanam 3,000 anak pokok di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong menerusi program “Rail to Roots: Pemuliharaan Hutan Terdegradasi dan Pembinaan Kapasiti”.

MRL dalam kenyataan hari ini memaklumkan fasa pertama program bermula 19 Dis tahun lepas melibatkan 600 anak pokok manakala 2,400 lagi ditanam secara secara berperingkat dalam fasa kedua bermula suku pertama tahun ini.

“Pokok terlibat merangkumi spesies merbau, meranti bukit serta nadir hutan sebagai usaha restorasi memelihara kelestarian biodiversiti hutan” menurut kenyataan itu.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, sebanyak 68 peserta terdiri daripada ahli lembaga pengarah, pengurusan tertinggi dan warga kerja MRL menanam 68 pokok yang melengkapkan sasaran 3,000 anak pokok pada Majlis Penanaman Pokok Rail to Roots hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi MRL dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

MRL memaklumkan inisiatif itu memperkukuh komitmen syarikat terhadap pemeliharaan khazanah alam semula jadi, selain menjadi simbolik sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Dalam kenyataan sama, Darwis berkata program Rail to Roots merupakan manifestasi usaha MRL mewujudkan keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

“Program ini sejajar dengan simbol hijau dan berjaya menyemai lebih 17,000 benih pokok sehingga Mei 2025 menerusi 15 tapak semaian. Perkembangan ini turut membuka lembaran baharu dalam menjana pendapatan komuniti Orang Asli serta membina masa depan lebih lestari,” katanya.

MRL menaja sepenuhnya 15 tapak semaian komuniti Orang Asli di Kampung Ulu Chemperoh dengan sokongan latihan dan bimbingan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Anak pokok dihasilkan dibeli semula melalui inisiatif Buyback Guarantee yang membantu komuniti Orang Asli menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi lebih mampan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan