AM

KPKT Galak Pemaju Swasta Serah Tanah Bangun PRR- Nga

24/08/2025 03:49 PM

TELUK INTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pemaju perumahan swasta menyerahkan tanah kepada kerajaan untuk dibangunkan Program Residensi Rakyat (PRR) bermula tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata jika terdapat pemaju yang berminat menyerahkan tanah, kajian akan dilakukan bagi memastikan kesesuaian untuk dibina PRR.

“Sekarang saya buka ruang ini kepada pemaju perumahan swasta bukan sahaja kerajaan negeri, mana-mana pemaju swasta, sekiranya mereka nak serahkan tanah kepada kerajaan, kami sudi terima.

“Pasukan teknikal akan kaji sama ada tanah itu, lokasi itu sesuai atau tidak. Jika sesuai, kita akan bawa projek ke tapak tersebut untuk kita bina PRR,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Projek dan Galeri Jualan Bandar PR1MA Teluk Intan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah menerima 32 tapak tanah secara percuma melalui kerjasama peringkat negeri.

“Dulu kementerian kena bagi peruntukan beli tanah, bayar premium, lepas itu tak ada duit untuk bina rumah yang berkualiti (namun), dasar baru kita galakkan formula menang-menang,” katanya. 

Beliau berkata KPKT juga menetapkan semua projek PRR mulai tahun ini dilaksanakan dengan konsep pembangunan bersepadu berserta pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.

Sementara itu, Nga berkata PRR pertama di Perak akan dilaksanakan di Tambun dengan peruntukan kira-kira RM150 juta yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

Beliau berkata PRR itu akan dibangunkan dengan pelbagai reka bentuk menarik terdiri daripada Central Park yang akan diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen kawasan itu.

“Kita sasar nak lancarkan PRR pertama Perak di Tambun akhir tahun ini dan Teluk Intan, satu demi satu, langkah demi langkah. 

“Harga PRR itu bernilai RM60,000 untuk sebuah unit yang terletak di luar bandar manakala mana-mana projek di dalam bandar akan dikenakan sewaan sahaja,” katanya.

Terdahulu, projek kediaman Bandar PR1MA Teluk Intan menerima sambutan memberangsangkan apabila semua unit kediaman Fasa 1A-1 habis ditempah dalam tempoh dua minggu pemilihan unit dilakukan. 

Projek itu merupakan kediaman bandar bersepadu pertama PR1MA dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM103 juta.

Bandar PR1MA Teluk Intan Fasa 1A-1 yang terdiri daripada 86 unit teres setingkat akan dibangunkan di kawasan seluas 15 hektar dan dijangka siap pada suku ketiga 2028.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan