SUKAN

Sukan SEA Pekak 2025: Sorakan "Malaysia Boleh" Iringi Emas Ke-16 Malaysia

24/08/2025 03:40 PM

JAKARTA, 24 Ogos (Bernama) -- Sorakan “Malaysia Boleh” memenuhi ruang GOR Pulo Gadung menyemarakkan semangat perjuangan beregu campuran Edmund Teo Seng Keong-Boon Wei Ying untuk mengesahkan pingat emas milik kontinjen negara ke Sukan SEA Pekak 2025.

Dalam aksi final menentang wakil tuan rumah Christian Agustinus Abas-Dzakiyya Amalia Ma’ ruf, wakil negara yang memenangi set pertama 21-7, mengharungi detik mendebarkan sebelum berjaya mengesahkan emas dengan 26-24, sekali gus mencapai sasaran 16 pingat emas Malaysia.

Edmund yang ditemui pemberita mengakui perlawanan berdepan pemain Indonesia sangat sengit pada set kedua selepas lawan mereka menukar corak permainan.

“Tetapi kami hanya fikir jangan tertekan, fokus dan percaya boleh menang. Syukur,  akhirnya kami berjaya membawa pulang emas untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Wei Ying merakamkan penghargaan kepada pihak yang tidak putus memberikan sokongan kepada atlet pekak negara.

“Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, penaja dan seluruh rakyat Malaysia. Kemenangan ini untuk anda semua. Kami berjanji akan terus berikan yang terbaik buat negara,” katanya.

Ketua Kontinjen Malaysia Sarkunan Balakrisnan berkata ia merupakan detik keramat apabila menyaksikan emas ke-16 berjaya diperoleh menerusi perlawanan epik dan ia sangat membanggakan.

“Saya memang sangat bangga… perlawanan badminton dengan Indonesia hari ini amat sengit. Harapan saya untuk pingat emas ke-16 akhirnya tercapai. Ini adalah kejayaan terbesar yang kita capai bagi mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Malaysia masih berpeluang menambah koleksi emas menerusi acara tenpin boling dan catur yang sedang berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan