AM

Gempa Bumi: Tiada Gangguan Telekomunikasi Di Segamat - Teo

24/08/2025 02:58 PM

KULAI, 24 Ogos (Bernama) -- Tiada sebarang aduan berkaitan gangguan telekomunikasi diterima setakat ini susulan gempa bumi lemah di Segamat pagi tadi, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata bagaimanapun pemantauan berterusan akan dilakukan pihaknya di kawasan terlibat.

"Sekarang kita (Kementerian Komunikasi) memang tidak terima apa-apa aduan (atau laporan) tentang gangguan perkhidmatan telekomunikasi, tetapi (berhubung perkara ini) kita akan terus memantau (di kawasan terlibat)," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Skills For Life dan Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2024 serta Serahan Sumbangan Pendidikan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Parlimen Kulai di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1.

Dalam pada itu, Teo berkata pembangunan sistem notis amaran bencana oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dimasukkan dalam Belanjawan 2026.

"Sistem ini boleh menghantar notifikasi untuk semua bencana alam. Jadi tentu saja ini (usaha membangunkan sistem) akan dimasukkan dalam belanjawan (Belanjawan 2026) nanti," katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini dipetik berkata MCMC sedang menyiapkan sistem yang boleh menghantar notis amaran terus ke telefon pintar orang ramai sebagai persiapan menghadapi bencana.

Fahmi berkata notis terbabit boleh disampaikan terus kepada telefon pintar di satu kawasan tanpa perlu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan