Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Industri minyak sawit Malaysia dijangka kekal positif dalam tempoh terdekat, disokong oleh eksport yang lebih kukuh dan inventori yang semakin berkurangan, kata Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa.
Beliau berkata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi, diniagakan antara RM4,200 hingga RM4,500 setan, didorong oleh ketidaktentuan perdagangan global dan dasar biobahan api Amerika Syarikat (AS) yang tidak jelas.
Beliau berkata tarif import dan perubahan halangan dalam perdagangan di ekonomi-ekonomi utama telah mengganggu aliran minyak makan pesaing, sekali gus menyebabkan bekalan menjadi terhad di pasaran utama, meningkatkan premium risiko dan mendorong pembelian spekulatif yang mengukuhkan momentum harga MSM.
“Contoh yang ketara adalah apabila China bertindak mengenakan duti antilambakan ke atas kanola Kanada, yang telah melonjakkan niaga hadapan minyak bji sesawi di bursa China. Kenaikan itu segera merebak ke dalam niaga hadapan minyak sawit, apabila para peniaga menyusun semula posisi mereka dalam pasaran minyak sayuran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata perubahan dasar biobahan api AS melalui program 45Z (insentif cukai untuk kredit pengeluaran bahan api bersih) telah mengubah 'medan permainan' landskap dengan memberi keutamaan kepada stok suapan domestik berbanding import.
“Dengan minyak kacang soya menjadi stok suapan utama bagi biodiesel di AS, pelarasan dasar ini telah memacu harga minyak kacang soya lebih tinggi. Kekuatan harga minyak kacang soya itu meresap ke dalam minyak sawit, sekali gus meningkatkan harga MSM seiring dengan pasaran minyak makan yang lebih luas,” katanya.
Sathia juga berkata prospek industri minyak sawit kekal stabil, didorong oleh eksport yang lebih kukuh berikutan permintaan minyak sawit dari India menjelang musim perayaan akan datang.
“Prospek eksport jangka pendek bagi minyak sawit kekal cerah, disokong oleh permintaan yang kukuh dari India berikutan menjelangnya musim perayaan.
“Pengisian semula stok menjelang perayaan utama secara bermusim dijangka memberikan sokongan padu kepada eksport dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Mengenai stok minyak sawit, beliau berkata inventori yang melebihi dua juta tan mencerminkan kesan sementara daripada dinamik penawaran-permintaan dalam jangka pendek.
“Situasi semasa (peningkatan inventori) tidak menunjukkan lebihan bekalan. Ini disebabkan oleh pertumbuhan dalam pengeluaran yang statik, dengan keluasan tanaman kelapa sawit di Malaysia kekal pada lima juta hektar dari 2012 hingga 2024.
“Oleh itu, kami menjangkakan pengeluaran akan memuncak tidak lama lagi dan kemudian berkurangan pada suku keempat 2025 sejajar dengan corak bermusim,” tambahnya.
Stok minyak sawit Malaysia meningkat untuk bulan kelima berturut-turut pada Julai ke paras tertinggi dalam hampir dua tahun apabila pengeluaran mengatasi eksport, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Jumlah inventori meningkat 4.02 peratus kepada 2.11 juta tan pada Julai berbanding 2.03 juta tan pada Jun, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial