AM

Johor Cadang Tambah Lokasi Ambil, Turun Penumpang Teksi Rentas Sempadan

23/08/2025 11:09 PM

KLUANG, 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor akan mengemukakan cadangan untuk menambah lokasi mengambil serta menurunkan penumpang bagi perkhidmatan teksi rentas sempadan Malaysia dan Singapura. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata ketika ini teksi atau kenderaan berlesen 'sewa dan pandu' Malaysia hanya dibenarkan menurunkan penumpang di Rochor Road, Singapura manakala teksi Singapura hanya dibenarkan berbuat demikian di Larkin Sentral, Johor Bahru.

“Cadangan fasa pertama ialah menambah lima lagi lokasi di Singapura selain Rochor Road, menjadikan keseluruhannya enam lokasi. Singapura juga sama dicadang menambah lima lokasi di Johor bagi menurunkan penumpang mereka,” katanya.

Mohd Fazli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Laman Rel Mahkota yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Stesen Kluang di sini hari ini. 

Beliau berkata bagi fasa kedua, perbincangan berkemungkinan melibatkan kebenaran sebahagian kenderaan melaksanakan perkhidmatan door-to-door atau dari rumah ke rumah.

Perkara itu masih pada peringkat perbincangan dan melibatkan bukan sahaja perkhidmatan teksi tetapi juga platform e-hailing.

Semalam, media melaporkan lebih 400 syarikat agensi pelancongan di Johor mendakwa terjejas selepas Singapura tidak lagi membenarkan permohonan permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sejak 2023.

Wakil agensi pelancongan itu, Dr Khairul Anuar Mohtar, 37, berkata pendapatan agensi pelancongan terjejas lebih 50 peratus akibat peraturan itu yang menghalang kenderaan pelancongan masuk ke Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan