AM

Tiga RUU Termasuk Akta 672 Akan Dibentang Di Dewan Negara Minggu Depan

23/08/2025 05:33 PM

KOTA BHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Tiga rang undang-undang (RUU) (pindaan) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Negara minggu depan.

Tiga RUU itu adalah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sekiranya akta berkenaan diluluskan semasa sesi persidangan Dewan Negara, ia akan diwartakan terlebih dahulu sebelum  dijangka dikuatkuasakan pada 1 Jan 2026.

“Undang-undang ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa buang sampah walau yang kecil sekalipun boleh jadi satu kesalahan besar dan didenda RM2,000 hingga RM10,000.

"Pada masa sama mahkamah boleh arahkan perintah khidmat masyarakat kepada pesalah untuk melakukan khidmat masyarakat selama 12 jam," katanya selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti MADANI di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, di sini hari ini.

Pada 22 Julai lepas, tiga RUU KPKT melibatkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) telah diluluskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pindaan tersebut bagi memperkasa rasa tanggungjawab sivik serta mendisiplinkan masyarakat dalam menjaga kebersihan awam yang merupakan salah satu aspek penting aspirasi MADANI. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan