EKONOMI

WITEX, WCAF 2025 Kukuh Kerjasama Serantau, Ekonomi Halal ASEAN

22/08/2025 08:51 PM

PETALING JAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) serta Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia (WCAF) 2025 menyediakan peluang penting untuk mengukuhkan kerjasama serantau, menyelaras strategi ekonomi halal ASEAN selain meletakkan rantau ini sebagai destinasi utama pelancongan Islam serta industri kreatif. 

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata WITEX dan WCAF 2025 yang bermula hari ini hingga 24 Ogos, menjadi detik penting untuk ASEAN menunjukkan perpaduan serta kepelbagaiannya selain potensi ekonomi di pentas global. 

“Di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN boleh memanfaatkan kekuatan kolektifnya daripada perkongsian warisan budaya kepada ekosistem perdagangan bersepadu untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai hab utama ekonomi halal global,” katanya semasa berucap merasmikan acara tersebut di sini hari ini. 

Beliau menekankan kepentingan dua acara itu, yang menonjolkan dimensi ekonomi dan budaya, memandangkan WITEX membuka peluang baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan serta pelabur di seluruh dunia dengan mewujudkan platform bagi ekonomi halal, perkhidmatan pelancongan dan kerjasama pelaburan untuk berkembang di peringkat global. 

Shamsul Iskandar berkata WCAF mengingatkan dunia bahawa Islam adalah tamadun berteraskan belas kasihan, kreativiti dan kewujudan bersama selain meraikan warisan budaya Melayu yang dibina atas rasa hormat, kebaikan serta kehalusan. 

Beliau menyeru pihak berkepentingan agar menyokong warisan tempatan menerusi pelancongan dan kebudayaan diketuai komuniti, memperkasakan perniagaan kecil dan penggiat seni dengan akses pasaran yang adil serta mengguna pakai penyelesaian digital untuk membina hubungan dan kepercayaan global menerusi akreditasi. 

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun, yang juga Pengerusi WITEX dan WCAF, pula berkata acara itu menyediakan platform ideal untuk menghubungkan pembeli, penjual, pelabur dan inovator bagi memacu perkembangan pasaran. 

“Tahun ini, kami mengalu-alukan pempamer dan delegasi dari Malaysia, ASEAN, Timur Tengah, Afrika serta Eropah yang semuanya komited untuk mengembangkan lingkungan pelancongan Islam dan perdagangan,” katanya. 

Beliau berkata selama tiga hari, pengunjung berpeluang menikmati persembahan, pameran seni dan budaya serta jelajah kulinari dari seluruh dunia kerana WCAF melengkapkan WITEX dengan tidak hanya mempromosi perdagangan dan perniagaan tetapi juga hubungan antara rakyat yang mencerminkan semangat keharmonian. 

Ketua Pegawai Eksekutif projek Datuk Jeffri Sulaiman berkata lebih 150 gerai pameran dibuka dengan penyertaan 12 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, China, Sepanyol, Azerbaijan, Kazakhstan, Zambia dan Taiwan. 

“Turut penting ialah kehadiran wakil daripada lembaga pelancongan negeri di Malaysia termasuk dari Perlis, Pahang, Terengganu dan Langkawi yang menonjolkan kekuatan serta kepelbagaian ditawarkan pelancongan negara. 

“WITEX meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam sektor yang berkembang pesat, selari dengan visi kerajaan untuk Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan