AM

Lebih 20,000 Kanak-Kanak Di Kelantan Terima Suntikan Vaksin Menerusi MRSIA

21/08/2025 09:20 PM

KOTA BHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Lebih 20,000 kanak-kanak berusia antara enam hingga 59 bulan di negeri ini telah menerima suntikan vaksinasi menerusi Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles dan Rubella (MRSIA).

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bermula pada 4 Ogos lepas itu bagi meningkatkan imuniti kelompok serta mengurangkan risiko penularan wabak campak dan rubela.

Beliau berkata hingga 17 Ogos lepas, negeri ini telah memberikan imunisasi kepada 21,334 kanak-kanak, iaitu 23.32 peratus daripada sasaran keseluruhan sebanyak 91,500. 

“Setakat ini, enam daerah di Kelantan telah mencapai liputan melebihi 25 peratus, iaitu Jeli (43.6 peratus), Tanah Merah (34.5 peratus), Machang (28.1 peratus), Bachok (26.9 peratus), Kuala Krai (25.4 peratus) dan Pasir Puteh (25.2 peratus). 

“Daripada jumlah keseluruhan penerima suntikan, 97.5 peratus penerima terdiri warganegara, manakala 2.5 peratus bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pencapaian berkenaan membuktikan usaha gigih petugas kesihatan bersama agensi kerajaan, sekolah dan komuniti setempat dalam memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan daripada penyakit campak dan rubela.

“Saya juga ingin menyeru semua ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak berumur enam hingga 59 bulan supaya membawa anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi tambahan itu. 

“Ibu bapa boleh mendapatkan suntikan yang diberikan secara percuma ini di klinik kesihatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), fasiliti Angkatan Tentera Malaysia dan melalui pasukan jangkau luar. 

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk mencapai sasaran liputan 95 peratus menjelang Oktober tahun ini sekali gus dapat memperkukuh imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada penyakit campak dan rubela,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan