EKONOMI

UK Cadang Kerjasama Mendalam Dengan ASEAN Dalam Semikonduktor

21/08/2025 09:18 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- United Kingdom (UK) berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama industri dengan negara-negara ASEAN, terutamanya dalam industri semikonduktor agar ianya mampu mewujudkan rantaian bekalan global yang berdaya tahan dalam usaha menangani ketidakpastian perdagangan yang berterusan termasuk kemungkinan pengenaan tarif yang lebih berat ke atas industri itu oleh Amerika Syarikat (AS).

Pesuruhjaya Perdagangan Diraja UK (HMTC) Asia Pasifik, Martin Kent percaya sektor semikonduktor dapat menjadi bidang keutamaan kerjasama dengan negara-negara ASEAN, memandangkan Malaysia dan Singapura sedang mengungguli ruang semikonduktor di rantau ini.

Katanya, berikutan pengumuman Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif 300 peratus ke atas semikonduktor, sudah tiba masanya untuk UK dan ASEAN mencari usaha penyelarasan agar kedua-dua pihak dapat bekerjasama di titik yang berbeza bagi menyokong rantaian nilai industri.

"Kami menyedari bahawa Malaysia memiliki industri semikonduktor yang agak cemerlang, begitu juga di Singapura serta negara-negara lain di rantau ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Berbanding dengan negara-negara lain, UK tidak mempunyai kemudahan fabrikasi tetapi ia menghasilkan beberapa peralatan khusus yang digunakan sebagai komponen untuk proses pembuatan semikonduktor iaitu komponen ultra termaju.

Komponen ultra termaju ini agak bersifat teknikal dan sangat penting kepada jentera yang lebih besar, di sinilah letaknya kepakaran UK.

"Ini adalah bahagian dalam rantaian nilai yang dapat kami buat di UK memandangkan keupayaan ini sukar untuk dibuat di tempat lain tetapi di tempat-tempat tersebut sebaliknya mempunyai keupayaan yang kami tidak ada, jadi, kerjasama ini akan membantu.

"Kami telah melihat hubungan ini secara positif dari segi integrasi dan kerjasama rantaian bekalan," kata Kent, yang menghadiri Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) di sini semalam sebagai persediaan untuk Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 (AEM) bulan depan.

 

Peningkatan Perdagangan UK dan ASEAN 

 

Sementara itu, Kent ketika mengulas mengenai agenda dalam mesyuarat AEM yang akan dianjurkan bermula 22 hingga 28 Sept depan menjelaskan UK akan menyampaikan Pelan Integrasi Ekonominya, sebuah program ekonomi utama untuk UK dan ASEAN sebagai rakan kongsi dialog.

Pelan itu memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu perkhidmatan kewangan, pembaharuan pengawalseliaan serta pasaran terbuka, bertujuan mengukuhkan integrasi ekonomi ASEAN termasuk meningkatkan perdagangan rentas sempadan.

"Inilah bagaimana Britain boleh bekerjasama dengan ASEAN secara kolektif dan bilateral bagi memacu standard pengawalseliaan, meningkatkan keterangkuman kewangan untuk perusahaan kecil dan sederhana, selain menyelaraskan amalan perdagangan yang akan memacu kelancaran perdagangan rentas sempadan," katanya.

Kent menekankan UK dan ASEAN komited untuk melonjakkan perdagangan yang bebas serta adil dan oleh itu, pematuhan dengan sistem antarabangsa berasaskan peraturan adalah penting untuk kedua-dua rakan kongsi ini.

"Ini ditunjukkan dalam perjanjian perdagangan bebas kami yang telah diwujudkan dengan beberapa negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam, selain melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan Malaysia serta Brunei yang kini telah pun mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan kami.

"UK juga mempunyai Skim Perdagangan Negara-Negara Membangun yang memberikan akses tanpa tarif kepada negara-negara yang dianggap sebagai pasaran membangun berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu Indonesia, Filipina, Kemboja dan Laos, " katanya.

 

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan