AM

Raja Muda Perak Berkenan Sempurnakan Pameran Seni Visual ‘Tanah Abang Ke Bukit Chandan’

21/08/2025 02:53 PM

PARIT, 21 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan menyempurnakan perasmian Pameran Seni Visual ‘Tanah Abang ke Bukit Chandan’ di Galeri Al-Biruni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah, Pegawai Daerah Perak Tengah Mohd Zaki Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM Prof Dr Md Yusof Hamid serta Pemangku Reaktor UiTM Cawangan Perak Prof Madya Dr Nur Hisham Ibrahim.

Program anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM yang melibatkan pameran seni visual dan bicara sejarah itu berkesinambungan dengan pameran ‘Pasir Salak ke Kuala Kangsar’ yang pernah diadakan pada 2008.

Md Yusof dalam sembah ucapannya berkata pameran seni itu bukan sekadar menampilkan karya visual, sebaliknya menjadi sebuah wadah budaya yang mengangkat sejarah negeri Perak supaya terus dihargai oleh generasi kini dan akan datang.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan itu juga berperanan sebagai pemangkin kepada gerakan intelektual dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam landskap sosiobudaya, khususnya di daerah Perak Tengah dan negeri Perak.

“Pameran seni bertemakan sejarah bukan sahaja meraikan kreativiti seniman, tetapi turut membuka ruang wacana tentang nilai dan pengajaran masa silam. Oleh itu, seni bukanlah sekadar hiburan, tetapi medium pendidikan dan pemuliharaan warisan. 

"Justeru, usaha seperti pameran itu wajar diteruskan kerana ia menghubungkan generasi dengan warisan sejarah melalui ekspresi yang bermakna,” kata Md Yusof.

Selain itu, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyokong penuh penganjuran pameran berkenaan yang dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada masyarakat untuk lebih mengenali sejarah Kesultanan Perak.

Tanah Abang ke Bukit Chandan merupakan pameran seni visual mengetengahkan perjalanan sejarah Kesultanan Perak bermula dari Tanah Abang yang melambangkan akar tradisi masyarakat sehingga ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan