KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Sebarang penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang boleh memberi kesan kepada hak individu hanya patut dilakukan selepas ujian yang ketat dan pengawasan yang teliti, kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal.
Beliau berkata walaupun AI berpotensi untuk membantu kerja manusia, ia harus kekal sebagai alat pembantu dan bukan dijadikan sebagai pembuat keputusan terutama dalam sistem keadilan jenayah.
“AI harus menjadi pembantu, bukan pembuat keputusan. Di Sabah contohnya, di mana alat bagi menentukan hukuman menggunakan AI telah dirintis dan ia pernah mencadangkan hukuman penjara selama 10 bulan dengan kebarangkalian 54 peratus bagi sabit kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 namun Majistret telah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.
“Mesejnya jelas, AI boleh membantu tetapi pertimbangan manusia harus diutamakan,” katanya semasa sesi pleno bertajuk Reformasi Keadilan Jenayah: Memastikan Etika AI dalam Prosiding Keadilan Jenayah yang diadakan bersempena Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Harmindar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah, berkata terdapat keperluan untuk peraturan, langkah-langkah keselamatan dan pendekatan berasaskan risiko yang jelas sebelum menggunakan AI dalam proses kehakiman.
"Singapura telah mengeluarkan garis panduan bagi penggunaan AI di mahkamah manakala Filipina sedang merangka tadbir urus AI bagi sistem kehakimannya. Malaysia dan negara ASEAN lain perlu mengikuti jejak langkah ini.
"Kita perlukan satu rangka kerja bagi memastikan penggunaan AI secara bertanggungjawab. Ini termasuk penilaian risiko, langkah-langkah mitigasi dan memastikan AI diuji dari segi sikap berat sebelah, kebolehpercayaan dan ketelusan sebelum digunakan,” katanya sambil memberi amaran bahawa meskipun AI adalah teknologi yang hebat, penggunaannya dalam sistem keadilan jenayah mesti dibuat dengan berhati-hati.
“Kita perlu sentiasa bertanggungjawab. Jika AI hendak digunakan dalam sistem kehakiman, kita perlu menggunakannya dengan penuh kesedaran dan bersedia menangani risiko bagi menuai manfaatnya,” kata beliau.
Daripada perspektif Singapura pula, peguam Colin Seow daripada Colin Seow Chambers berkata pasukan polis republik itu telah menggunakan AI dalam forensik digital bagi membolehkan para penyiasat menapis secara automatik peranti yang dirampas dalam kes penderaan seksual kanak-kanak sekali gus mempercepat serta meningkatkan kecekapan siasatan.
Beliau berkata AI turut digunakan dalam sektor kewangan dan pada tahun lepas, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah melancarkan platform Collaborative Sharing of Money Laundering and Terrorism Financing Information and Cases (COSMIC) iaitu inisiatif perkongsian data awam-swasta bersama bank serta institusi kewangan utama.
"Di COSMIC, AI digunakan untuk menganalisis corak urus niaga yang membolehkan bank secara proaktif mengesan dan menandakan aktiviti mencurigakan merentasi institusi dan pada masa sam, memastikan kerahsiaan pelanggan terpelihara.
“Inisiatif ini disokong oleh perubahan legislatif bagi membolehkan bank dan institusi kewangan yang menyertainya berkongsi maklumat pelanggan antara satu sama lain secara eksklusif untuk mengesan atau mencegah jenayah kewangan,” katanya.
Forum tiga hari itu menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi pakar yang dihadiri oleh lebih 300 peserta dari ASEAN serta negara luar, merangkumi perbincangan mengenai penyelesaian pertikaian alternatif, pembaharuan undang-undang komersial serta perniagaan dan hak asasi manusia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial