KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih suku kedua SP Setia Bhd yang berakhir pada 30 Jun 2025 susut kepada RM99.8 juta daripada RM295.03 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun sebelum ini.
Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatannya juga merosot kepada RM943.73 juta berbanding RM1.49 bilion yang disaksikan pada suku yang sama tahun kewangan 2024, yang kebanyakannya disumbang daripada pembangunan tempatan.
Penjualan, bagaimanapun, menyaksikan peningkatan pada RM1.186 bilion daripada RM883 juta, datang daripada projek domestik kumpulan.
Bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2025, keuntungan bersih adalah lebih rendah pada RM166.82 juta berbanding RM372.36 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Jualan banyak disumbangkan daripada projek-projek tempatan pada RM1.42 bilion, yang mewakili 75 peratus daripada jumlah jualan, manakala projek antarabangsa kumpulan menyumbang RM480 juta atau 25 peratus daripada angka jualan.
Kumpulan itu akan terus mengurangkan pinjamannya, dengan nisbah penggearan bersih semasa sebanyak 0.34 kali, sejajar dengan strategi pengurangan hutang kumpulan.
Sementara itu, berikutan pemotongan kadar dasar semalaman (OPR), ia menjangkakan industri pembangunan hartanah, khususnya segmen kediaman akan menyaksikan pertumbuhan.
Pada 9 Julai 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, pemotongan kadar yang pertama dalam tempoh lima tahun.
Katanya, ini akan meningkatkan kemampuan pembeli, menjimatkan kos pembiayaan pemaju selain berpotensi melonjakkan sentimen pasaran di tengah-tengah ketidakpastian global yang berpanjangan serta kenaikan kos pembinaan.
"Disebalik cabaran pasaran semasa, prospek kami tetap optimis dengan berhati-hati ketika kami mencari peluang untuk memperluaskan kehadiran syarikat dalam segmen pertumbuhan tinggi kami," kata Presiden SP Setia dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Choong Kai Wai.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata ia akan terus mempercepatkankan pembangunan perbandaran pemangkinnya, taman eko-perindustrian, perkongsian strategik selain memanfaatkan penciptaan nilai di koridor pertumbuhan utamanya.
Setakat 30 Jun 2025, SP Setia mempunyai aliran jualan yang belum dibil sebanyak RM3.9 bilion, 42 projek yang sedang berlangsung dengan bank tanah merangkumi 2,100.72 hektar (5,191 ekar) dan nilai pembangunan kasar berjumlah RM90.18 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial