EKONOMI

Pengecualian Cukai Produk Pertanian AS Dimuktamadkan Atas Kepentingan Bersama - Zafrul

19/08/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pengecualian cukai jualan ke atas produk pertanian yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) merupakan hasil perundingan tarif yang dimuktamadkan berdasarkan kepentingan bersama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pengecualian tersebut adalah antara hasil perbincangan yang membawa kepada pengurangan tarif timbal balas terhadap Malaysia.

"Oleh itu, sebarang pertimbangan pengecualian cukai kepada negara lain adalah tertakluk kepada rundingan berdasarkan permintaan serta tawaran balas daripada negara berkaitan dengan syarat ia memberikan manfaat dan keuntungan kepada Malaysia," katanya ketika sesi penggulungan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanyakan sama ada pengecualian cukai jualan akan turut diberikan kepada barangan import dari negara lain.

Tengku Zafrul berkata, situasi perdagangan semasa itu belum pernah berlaku di mana-mana negara dan Malaysia tidak bersendirian dalam menghadapi keadaan apabila prinsip perdagangan pelbagai hala terpaksa mengetepikan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) demi melindungi kepentingan ekonomi dan politik masing-masing.

Menurutnya, langkah-langkah yang diambil AS bertujuan mewujudkan suatu order perdagangan dunia baharu berasaskan perjanjian geopolitik dan geoekonomi semasa, manakala tahap kesesuaiannya dengan peraturan WTO bergantung kepada reka bentuk serta pelaksanaan spesifik yang dibuat.

“MITI akan mematuhi pelbagai peraturan perdagangan antarabangsa yang telah berkuat kuasa dan kementerian akan mengkaji perkara tersebut dengan lebih terperinci dan akan berbincang dengan kementerian kewangan mengenai hal (diskriminasi) ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan terus berpegang pada prinsip perdagangan adil dan saksama tanpa diskriminasi terhadap mana-mana negara, termasuk rakan dagangan yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia.

Mengenai tarif yang dikenakan ke atas industri sarung tangan getah, Tengku Zafrul berkata sektor itu telahpun terkesan lebih awal berikutan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding negara lain, khususnya China yang semakin giat melabur selepas pandemik COVID-19.

Menurutnya, isu utama yang dihadapi bukan hanya berkaitan pelaksanaan tarif, tetapi juga produktiviti.

“Justeru, kita perlu melihat perkara ini secara holistik tanpa mengira tarif sekalipun, daya saing industri tempatan semakin berkurangan berbanding negara jiran yang telah meningkatkan pelaburan dalam sektor ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan