AM

HKHM 2025: 81 Kontinjen Bakal Beraksi Di Dataran Putrajaya

19/08/2025 05:17 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos nanti dijangka disertai 81 kontinjen berbanding hanya 57 pada tahun lepas. 

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan berkata sebanyak 14,010 orang akan menyertai acara perbarisan selain 116 aset haiwan akan ditampilkan berbanding 112 pada tahun lepas.

Beliau berkata sambutan tahun ini bakal dimeriahkan dengan penyertaan 21 kumpulan pancaragam yang akan mempersembahkan pelbagai irama termasuk berunsur patriotisme. 

“Seperti sambutan sebelum ini acara lintas udara juga akan diadakan melibatkan aset-aset pertahanan negara selain tujuh kereta berhias bakal ditampilkan yang antara lain menampilkan elemen Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Antara kementerian dan agensi yang terlibat dalam perarakan kereta berhias termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya ketika menyampai taklimat media berhubung sambutan Hari Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pengisian perarakan Hari Kebangsaan diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bertanggungjawab memastikan kelancaran dan kesepaduan pelbagai segmen persembahan.

Sementara itu, beliau berkata buat julung-julung kalinya sambutan Bulan Kebangsaan akan dimeriahkan dengan program Riuh Merdeka 2025 yang diadakan selama 30 jam tanpa henti, iaitu bermula 12 tengah hari pada 30 Ogos hingga 6 petang, 31 Ogos.

Program berkenaan akan diadakan di Tapak Parkir Monumen Alaf Baharu di Presint 2 di sini,  pengunjung bakal disajikan dengan aktiviti berunsur perpaduan, kebudayaan dan kreativiti Malaysia melalui seni, muzik serta komuniti.

Beliau berkata selain itu acara Kira Detik Merdeka juga akan diadakan di lokasi sama pada 11.55 malam, 30 Ogos manakala Sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka bermula 5 petang pada hari yang sama.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan