KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yakin beregu utama negara mampu melangkah ke final Kejohanan Dunia 2025 berdasarkan ranking semasa mereka.
Beliau berkata walaupun tidak menetapkan sasaran secara rasmi, harapan tetap tinggi disandarkan kepada beregu negara memandangkan mereka berada dalam kelompok terbaik dunia.
“Sekurang-kurangnya, untuk beregu, mereka sepatutnya boleh ke final, bukan? Ini jangkaan semula jadi kalau tengok kedudukan ranking mereka.
“Jadi saya harap mereka dapat beraksi sekurang-kurangnya mengikut ranking. Itu pandangan peribadi saya kerana BAM tidak tetapkan sasaran rasmi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata tumpuan sudah pasti terarah kepada beregu lelaki kedua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah yang turut menghuni ranking kedua dunia.
Pada Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, Aaron-Wooi Yik akan memulakan kempen di pusingan kedua menentang sama ada Daniel Franco-Rodrigo Sanjurjo dari Sepanyol atau pasangan Scotland Christopher Grimley-Matthew Grimley selepas menerima bye pada pusingan pertama.
Pearly-Thinaah juga memperoleh bye dan akan turun ke gelanggang pada pusingan kedua berdepan sama ada pasangan Hong Kong Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan atau gandingan Switzerland Cloe Brand-Julie Franconville.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial