AM

Sabah Tuan Rumah Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 - Aaron

16/08/2025 04:52 PM

LABUAN, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menganjurkan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2026 di Sabah, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan dan Jubli Emas Rukun Tetangga (KRT) 2025 untuk Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Minggu Perpaduan yang dianjurkan di bawah rangka kerja Kembara Perpaduan Malaysia MADANI itu bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan selain memupuk kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian tradisi dan budaya masyarakat Malaysia. Sambutan berkenaan turut menjadi platform mengukuhkan integrasi sosial serta membina ekosistem perpaduan negara yang mampan.

Aaron berkata Labuan adalah contoh keharmonian apabila kepelbagaian budaya, agama dan etnik dapat hidup bersama dalam suasana aman.

Beliau berkata Labuan mencatatkan skor tertinggi Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 iaitu 9.29, sekali gus menggambarkan tahap kebahagiaan penduduknya yang sangat tinggi.

“Bagi memperkukuh lagi ikatan sosial di peringkat komuniti, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menubuhkan 37 kawasan Rukun Tetangga di seluruh Labuan,” katanya.

Aaron berkata gerakan Rukun Tetangga meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun ini. Sepanjang lima dekad, KRT memainkan peranan penting dalam rondaan keselamatan komuniti, pembangunan kejiranan, memupuk semangat kejiranan yang baik serta memperkukuh perpaduan negara.

Sambutan tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Pameran Jubli Emas Rukun Tetangga, persembahan Malam Kebudayaan, pameran Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Unity Fun Run and Walk, Pameran dan Jualan Ekonomi Rukun Tetangga serta pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan