AM

Pemakaian Beret, Lencana Kehormat Bukan Untuk ‘melawa’ - Agong

16/08/2025 01:06 PM

MERSING, 16 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menegur pemakaian beret dan lencana kehormat pada pakaian seragam tentera yang disifatkan tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya pada semua acara.

Sultan Ibrahim bertitah setiap beret dan lencana yang dipakai mencerminkan kemahiran serta kelayakan anggota pasukan keselamatan dan bukan sekadar hiasan atau untuk kelihatan bergaya.

“Semua beret dan lencana yang dipakai menunjukkan kemahiran dan kelayakan siapa diri awak yang sebenar dan bukan pakai letak untuk ‘melawa’ sahaja. Sebagai contoh, saya sendiri telah lulus latihan Special Forces dan payung terjun di Fort Bragg, Amerika Syarikat, jadi saya layak memakai lencana tersebut pada pakaian seragam saya.

“Tetapi jika seseorang hanya menerima lencana kehormat, ia hanya boleh dipakai pada acara tersebut sahaja, bukan untuk melawa setiap hari.

“Jadi kepada yang tidak layak, awak tahu apa yang patut dibuat,” titah Seri Paduka Baginda pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas (RGK) ke-60 di Kem Iskandar, di sini hari ini.

Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan  Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK), bertitah teguran itu dibuat secara berhemah sempena hari bersejarah rejimen berkenaan.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan seluruh warga GGK supaya terus berdisiplin, berdedikasi selain mahu mereka mengekalkan martabat rejimen agar sentiasa disegani kawan dan digeruni lawan serta berpegang teguh pada cogan kata ‘cepat dan cergas’.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian RGK sejak ditubuhkan pada 1965 hasil jasa dan pengorbanan anggota serta veteran rejimen elit itu.

“Saya berharap rejimen ini akan terus unggul sebagai sebuah pasukan strategik negara yang sentiasa bersedia bertindak dengan cepat dan berkesan dalam menghadapi sebarang ancaman.

“Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Ilahi semoga Malaysia sentiasa dilimpahkan rahmat, kekal aman, maju dan makmur. Insya-Allah,” titah Seri Paduka Baginda. 

Perbarisan sempena ulang tahun ke-60 RGK itu dianjurkan bagi memperingati penubuhan rejimen berkenaan serta menghargai jasa dan pengorbanan wira pasukan elit tersebut dalam mempertahankan kedaulatan negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan