SUKAN

Lesu Upaya: Ancaman Senyap Ragut Bakat Muda

16/08/2025 11:03 AM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Disangka panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari.

Itulah perjalanan getir dilalui kebanyakan atlet muda negara bermula dengan semangat membara dan impian besar namun tersungkur dek tekanan, keletihan dan kehilangan arah dalam dunia sukan yang mencabar.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati hampir 70 peratus kanak-kanak serta remaja meninggalkan gelanggang seawal usia 13 tahun, dan fenomena itu dikenal pasti berpunca daripada sindrom lesu upaya atau burnout iaitu keletihan fizikal dan mental akibat latihan berlebihan, harapan melangit serta kegagalan mengimbangi kehidupan harian.

Laporan diterbitkan American Academy of Pediatrics (AAP) menerusi jurnal Pediatrics tahun lepas, turut mengaitkan masalah berkenaan dengan kecederaan berulang, latihan keterlaluan dan tekanan psikologi yang akhirnya memadamkan minat membara.

Situasi di Malaysia mungkin tidak jauh beza. Meskipun tiada statistik rasmi, hakikatnya gejala ini dapat dilihat saban tahun iaitu realiti yang cukup membimbangkan buat jurulatih, ibu bapa dan penggiat sukan yang mahu melahirkan pelapis negara.

Jurulatih olahraga berpengalaman Mohd Manshahar Abdul Jalil menyifatkan sindrom lesu upaya sebagai “musuh senyap” yang telah meragut terlalu banyak bakat muda negara.

“Saya telah mengkaji rekod atlet (olahraga) dari Majlis Sukan Sukan Malaysia (MSSM) sejak 2012 hingga 2022. Hanya sekitar lima peratus daripada mereka yang masih aktif di peringkat elit selepas 10 tahun.

“Sepatutnya, apabila mereka mencapai tahap matang, mereka beraksi pada tahap tertinggi. Namun, ramai terhenti di satu titik, tidak mencapai potensi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Manshahar berkata lesu upaya dalam kalangan atlet muda berpunca daripada tekanan luar biasa untuk mencapai kejayaan pada usia muda serta latihan yang tidak seiring dengan perkembangan fizikal dan mental.

"Ramai atlet remaja dipaksa untuk berlatih secara intensif sejak usia muda, tetapi mereka akhirnya mengalami kemerosotan prestasi sebelum mencapai kemuncak potensi sebenar mereka," katanya.

Mohd Manshahar turut menegaskan bahawa latihan terlalu spesifik sejak usia muda atau early specialisation, menjadi antara faktor utama menyumbang kepada keletihan mental dan fizikal selain meningkatkan risiko kecederaan jangka panjang.

Menurut beliau, tekanan berlebihan daripada jurulatih dan ibu bapa hanya memburukkan lagi keadaan sehingga bakat muda gagal berkembang secara sihat.

“Di peringkat MSSM misalnya, jurulatih dan pegawai sukan sering tertekan dengan KPI (Indeks Prestasi Utama) yang perlu dicapai. Mereka mahu keputusan segera untuk memastikan lebih banyak pingat dimenangi.

“Kesan jangka panjang kepada atlet itu sendiri jarang dipertimbangkan. Apabila terlalu didesak untuk menang, mereka akhirnya hilang motivasi atau mengalami kecederaan serius,” katanya.

Bagi memastikan lebih ramai atlet muda dapat bertahan hingga peringkat senior dan antarabangsa, Mohd Manshahar menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, jurulatih dan kelab sukan, untuk lebih memahami prinsip latihan yang betul dan bersesuaian dengan peringkat umur atlet.

“Kita perlu ubah mentaliti bahawa kejayaan boleh dicapai dalam tempoh singkat. Atlet yang berjaya bukan dilahirkan dalam masa dua atau tiga tahun, tetapi melalui latihan konsisten selama lebih 10 tahun.

"Jika kita mahu menghasilkan lebih ramai atlet bertaraf dunia, kita perlu memastikan sistem pembangunan sukan kita lebih mampan dan tidak terlalu menekan atlet muda hingga menyebabkan mereka keletihan sebelum sempat mencapai puncak prestasi mereka," katanya.

Pandangan itu disokong bekas Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) Dan Pensyarah Kanan Sains Sukan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Hadafi Fitri Mohd Latip yang menyifatkan fenomena lesu upaya semakin ketara dalam kalangan atlet muda.

Beliau berkata gejala berkenaan berpunca daripada tekanan melampau serta beban latihan berlebihan yang bukan sahaja menjejaskan prestasi malah berpotensi memendekkan jangkat hayat kerjaya atlet.

"Burnout ialah keletihan fizikal, mental dan emosi berpunca daripada tekanan berpanjangan atau latihan terlalu intensif. Ia bukan hanya menjejaskan prestasi, malah boleh menyebabkan atlet hilang minat dan akhirnya meninggalkan sukan sepenuhnya," katanya.

Menurut beliau dalam konteks sukan, gejala lesu upaya sering dikaitkan dengan sindrom latihan berlebihan atau overtraining syndrome, iaitu keadaan tubuh dan minda atlet tidak lagi mampu menampung beban latihan berterusan tanpa pemulihan yang cukup.

"Ramai atlet muda cemerlang di peringkat awal, tetapi apabila memasuki usia remaja, mereka semakin hilang daya saing kerana beban latihan yang tidak seimbang. Ini menyebabkan ramai bersara lebih awal sebelum mencapai potensi sebenar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan