Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan lebih rendah berikutan pembetulan teknikal antara jajaran RM3,800 satu tan hingga RM3,950 satu tan, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.
Ini disebabkan oleh stok minyak kelapa sawit pada Julai 2025 yang melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh 19 bulan iaitu sebanyak 2.1 juta tan selain peningkatan harga niaga hadapan akibat permainan spekulatif oleh pelabur.
“Untuk permintaan fizikal, ia akan terus datang dari China, Pakistan, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah.
“India agak berhati-hati dalam pembelian dan mungkin tidak membeli banyak memandangkan mereka sedang mempelbagaikan pembelian mereka ke dalam minyak-minyak lain pada masa ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran MSM minggu hadapan dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun susulan kenaikan harga baru-baru ini, keadaan ini menghalang pembelian tambahan dalam minyak sawit.
“Kami meramalkan harga akan berlegar antara RM4,300 hingga RM4,450 satu tan,” kata Ng.
Sementara itu, pengasas bersama dan penganalisis kanan Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata sentimen pasaran boleh menjadi positif bagi pasaran MSM memandangkan momentum membeli mula melonjak pada sesi kedua hari Jumaat, didorong oleh peningkatan dalam data eksport Ogos.
Beliau berkata juruukur kargo Intertek Testing Services melaporkan bahawa eksport bagi separuh pertama bulan itu naik 16 peratus, manakala Amspec melaporkan tambahan sebanyak 21 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada Julai lepas.
“Minggu depan pasaran akan memberi tumpuan kepada data pengeluaran 1 hingga 20 Ogos,” katanya.
Dari minggu ke minggu, kontrak Ogos menokok sebanyak RM124 kepada RM4,338 satu tan, September 2025 memperoleh RM191 kepada RM4,425 satu tan dan Oktober 2025 melonjak RM227 kepada RM4,427 satu tan.
Kontrak November 2025 adalah RM237 lebih baik kepada RM4,511 satu tan, Disember 2025 mencatatkan keuntungan sebanyak RM244 kepada RM4,528 satu tan, manakala Januari 2026 meningkat RM237 kepada RM4,526 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan bertambah kepada 472,033 lot berbanding 354,336 lot yang dicatatkan pada minggu sebelum ini, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 249,718 kontrak daripada 311,976 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan menokok RM150 kepada RM4,400 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial