JENAYAH & MAHKAMAH

Pasukan JIPS Akan Ambil Keterangan Tiga Pegawai Kanan Polis Terlibat Siasatan Awal Zara Qairina - Ayob Khan

16/08/2025 10:53 AM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Sepasukan pegawai daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan ke Sabah dalam masa terdekat bagi merakam keterangan tiga pegawai kanan polis yang terlibat dalam siasatan awal kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata JIPS telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP), dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes tersebut.

“Pegawai JIPS Bukit Aman akan ke sana dalam tempoh satu atau dua hari lagi bagi mengambil keterangan ketiga-tiga pegawai berkenaan... siasatan ini berkaitan ketidakpatuhan SOP siasatan kes Zara Qairina dan penyeliaan terhadap pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.

Ayob Khan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan

Setakat ini, katanya, ketiga-tiga pegawai kanan terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa.

Pada Rabu lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar dalam sidang media memaklumkan dapatan awal siasatan Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mendapati wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh pegawai penyiasat berhubung kes kematian Zara Qairina.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama  Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi 16 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan