AM

ANCM, AMNEX, AFR : TLDM Imbangi Elemen Diplomasi, Ketenteraan Dan Kerjasama Serantau

14/08/2025 11:11 PM

GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) Ke-19, Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) Ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR) dirancang dengan teliti bagi mengimbangi elemen diplomasi, ketenteraan dan kerjasama serantau.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membuat persediaan terperinci bagi memastikan kelancaran program yang merangkumi beberapa segmen utama di sekitar Pulau Pinang dari 15 hingga 22 Ogos ini.

Beliau berkata TLDM telah melaksanakan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri untuk memastikan koordinasi serta pelaksanaan aktiviti secara sistematik dalam usaha mencapai objektif ditetapkan.

"TLDM turut melaksanakan penyelarasan yang erat bersama Point of Contact (POC) negara-negara ASEAN melalui saluran diplomasi ketenteraan untuk memastikan kelancaran persiapan dan pelaksanaan ANCM, AMNEX dan AFR. 

"Ini termasuk sesi libat urus bersama Penasihat Pertahanan negara ASEAN yang berpangkalan di Malaysia, pelaksanaan Planning Conferences dan Mesyuarat Staf ANCM serta inisiatif penghebahan maklumat penting," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama di sini.

Dalam usaha memperkukuh promosi dan penyebaran maklumat kepada orang awam, beliau berkata TLDM berganding bahu bersama Penang Global Tourism (PGT) di bawah seliaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Selain ANCM, AMNEX dan AFR, antara aktiviti sampingan yang dirancang termasuk Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC), ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) bagi mempromosikan tradisi tentera laut kepada masyarakat umum dan kunjungan orang ramai ke kapal perang ASEAN.

Perarakan kontinjen tentera laut ASEAN, lintas hormat aset maritim, flypast helikopter TLDM dan pelayaran kapal dalam bentuk formasi di Selat Utara menerusi AFR juga dirancang dalam aktiviti seminggu di Pulau Mutiara itu.

Mohd Fadzli Kamal berkata penganjuran aktiviti penting seperti ANCM, AMNEX dan AFR adalah satu bentuk pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia, khususnya TLDM dalam mengetuai serta menyelaras kerjasama serantau serta memperlihatkan keyakinan ASEAN terhadap peranan TLDM sebagai satu daripada pemacu utama kestabilan maritim di rantau ini.

"Saya berharap kejayaan penganjuran ini akan menjadi satu penanda aras baharu bagi TLDM dalam penganjuran acara ketenteraan bertaraf antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia sebagai peneraju kerjasama maritim di rantau ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya ingin menyampaikan mesej yang jelas bahawa TLDM amat komited dalam memacu agenda keamanan dan kestabilan maritim serantau melalui pendekatan kerjasama dan kesepaduan.

Selain itu, beliau berharap penganjuran aktiviti kali ini akan memaparkan suatu sesi dialog strategik yang konstruktif antara pemimpin tentera laut ASEAN serta membuka ruang untuk kolaborasi yang lebih erat dan berkesan pada masa hadapan.

Menyorot peranan TLDM di peringkat ASEAN dan antarabangsa, Mohd Fadzli Kamal berkata penglibatan konsisten TLDM dalam pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala membuktikan bahawa TLDM bukan sekadar sebuah angkatan laut, malah berfungsi sebagai duta maritim Malaysia di arena global. 

Selain itu, katanya TLDM juga memainkan peranan konsisten dalam menjayakan agenda keamanan dan keselamatan maritim serantau, khususnya dalam isu semasa seperti pelanunan, jenayah rentas sempadan, carilamat di laut dan bantuan kemanusiaan serta bencana (HADR).

"Selain aspek ketenteraan, TLDM turut memberi penekanan kepada elemen diplomasi pertahanan yang dilaksanakan menerusi lawatan opeasi kapal ke luar negara, program pertukaran pegawai, pelaksanaan dialog atau mesyuarat strategik dan pogram latihan bersama.

"Semua ini menyumbang secara langsung kepada pengiktirafan terhadap keupayaan dan profesionalisme TLDM, sekali gus mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang progresif dan dipercayai," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan