PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Pendakwah disaran menerapkan nilai-nilai murni berteraskan gagasan Malaysia MADANI serta menggunakan bahasa yang mudah difahami golongan sasaran bagi memastikan penyampaian mesej lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, nilai-nilai universal dalam Malaysia MADANI wajar diperluas ke seluruh rantau melalui jaringan sukarelawan negara anggota Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).
“Sudah tentu Sukarelawan MABIMS memainkan peranan penting sebab mereka turun ke lapangan bertemu dengan golongan sasaran. Jadi kita harapkan mereka dapat menggunakan teknik ataupun metodologi dakwah yang tepat supaya mesej dakwah dapat disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat.
“Kita tahu nilai kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan, kesemua nilai ini ditekankan dalam pembinaan masyarakat MADANI, jadi sudah tentu nilai-nilai ini sangat hampir dengan roh Islam itu sendiri, dan kita cuba serapkan dan sampaikan (kepada masyarakat) melalui sukarelawan daripada MABIMS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HISDAM), di sini hari ini.
Program tiga hari bermula semalam, adalah anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dihadiri kira-kira 200 sukarelawan.
Mohd Na’im berkata pendakwah juga perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami dan sesuai dengan budaya tempatan agar mesej Islam dapat disampaikan dengan jelas dan memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Beliau berkata penggunaan bahasa yang terlalu sukar boleh menimbulkan kekeliruan sekali gus menghalang penghayatan terhadap perintah Allah.
Pada majlis itu, Mohd Na’im menerima resolusi yang disepakati dalam HISDAM daripada Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom.
Antara resolusi berkenaan ialah menjadikan HISDAM sebagai program berkala secara bersama bagi menghimpunkan sukarelawan dakwah dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura selain menjadi platform memperkuat dan menyatukan gerakan sukarelawan dakwah serantau.
Selain itu, resolusi mencadangkan untuk mewujudkan pelan strategik dakwah (program tindak balas segera) yang mampan bagi tempoh lima tahun yang boleh diukur, tuntas dan efektif bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti sukarelawan.
Resolusi lain ialah mewujudkan Sekretariat Sukarelawan untuk koordinasi program besar, membangun model sosioekonomi komuniti dengan menyediakan latihan berkala serta pembangunan kapasiti kepada sukarelawan dakwah dalam kalangan belia dan membangunkan platform digital sukarelawan dakwah sebagai medium penyampaian maklumat berkaitan isu dan permasalahan ummah.
Mohd Na’im berkata beliau telah mengarahkan Hasan untuk melihat bagaimana resolusi yang telah dipersetujui oleh semua sukarelawan HISDAM itu dapat direalisasikan dan dimanfaatkan demi kesejahteraan agama Islam di rantau ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial