AM

MALAYSIA SIASAT KETELUSAN GENCATAN SENJATA THAILAND-KEMBOJA

12/08/2025 04:23 PM

GEMAS, 12 Ogos (Bernama) -- Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang diketuai Malaysia memainkan peranan penting dalam menjalankan siasatan terhadap ketelusan gencatan senjata di sempadan Thailand dan Kemboja.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pasukan tersebut seterusnya akan memaklumkan hasil siasatan itu kepada kedua-dua negara berkenaan.

“Kita menerima laporan daripada kedua-dua negara bahawa berlaku beberapa pelanggaran gencatan senjata, yang ini kita ambil laporan tersebut dan pasukan di lapangan akan buat siasatan...matlamat dan tugas utama kita adalah memastikan gencatan senjata berjalan dengan telus dan lancar.

“Kita juga meminta Thailand dan Kemboja untuk berhubung dengan Kumpulan Tindakan Bersama daripada kedua-dua negara termasuk bahagian perundangan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.

Menurut Minit Persetujuan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa GBC pada 7 Ogos lepas, kedua-dua pihak juga perlu mengelak daripada melepaskan tembakan secara provokatif ke arah kedudukan atau pasukan lawan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata IOT ketika ini mengadakan perjumpaan dengan Thailand dan Kemboja sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi memerhati dan melaporkan perkembangan terkini di kawasan terbabit.

Beliau berkata Malaysia juga sentiasa bersedia untuk menghantar wakil di peringkat selanjutnya selepas IOT iaitu Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT) bagi kedua-dua negara berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan