AM

Kadar Kesuburan Di Malaysia Alami Penurunan Ketara

11/08/2025 06:03 PM

ARAU, 11 Ogos (Bernama) -- Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di Malaysia merekodkan penurunan ketara kepada 1.7 anak pada 2023 berbanding 4.0 anak pada 1980, sekali gus Malaysia sedang menjadi negara menua disebabkan kadar kesuburan itu semakin menurun.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata penurunan kadar kesuburan pada masa ini berkait rapat dengan perubahan gaya hidup termasuk peningkatan kos sara hidup, kecenderungan berkahwin lewat dan aspirasi keluarga moden yang memilih saiz keluarga kecil.

“Faktor seperti peningkatan penyertaan wanita dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja turut mempengaruhi keputusan berkaitan pembentukan keluarga. Di samping itu, keinginan untuk memiliki saiz keluarga lebih kecil disebabkan pertimbangan kewangan, komitmen kerjaya dan keutamaan peribadi turut menyumbang kepada penurunan TFR.

“Masalah kesihatan reproduktif dan ketidaksuburan juga menjadi antara penyebab yang perlu diberi perhatian dalam menangani isu ini secara menyeluruh,” katanya.

Teks ucapan beliau dibaca Pengarah Bahagian Penyelidikan, Kependudukan dan Keluarga LPPKN Adzmel Mahmod pada majlis perasmian Seminar Kependudukan Negeri Perlis 2025 sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia di sini hari ini.

Perasmian seminar bertemakan ‘Penduduk Perlis: Kecil Negeri, Luas Aspirasi’ itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar negeri Wan Badariah Wan Saad.

Abdul Shukur berkata antara langkah kerajaan menangani isu itu adalah dengan melaksanakan advokasi berkaitan kesuburan melalui Program Bantuan Intrauterine Insemination (IUI) dan Advokasi Infertiliti (BuAI) sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kelahiran di samping memberikan kesedaran berkaitan faktor kesuburan.

Sementara itu, beliau berkata Perlis antara negeri menunjukkan penurunan TFR yang kini mencapai kadar 1.7 pada 2023 selain turut menurun daripada segi bilangan kelahiran hidup sebanyak 3,878 pada tahun sama berbanding 4,392 kelahiran pada 2016.

“Sehubungan dengan itu, adalah tepat pada masanya seminar ini diadakan bagi membincangkan langkah dan dasar yang perlu diambil untuk memperlahankan penurunan kadar kesuburan dan menyiapkan Perlis dalam menghadapi arus pantas perubahan demografi.

“Ia berlaku dengan menyediakan pelan perancangan dan pelaksanaan program melalui tiga teras utama iaitu kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan