PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama) -- Open University Malaysia (OUM) telah melakar kedudukan tersendiri dalam landskap pendidikan tinggi negara dengan memperjuangkan pembelajaran fleksibel di luar bilik darjah tradisional, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata berbeza dengan institusi lain yang menumpukan laluan pengajian sepenuh masa, OUM membolehkan pelajar meneruskan pengajian di dalam kereta api, ketika waktu rehat tengah hari, selepas bekerja atau setelah menunaikan tanggungjawab untuk keluarga.
"Fleksibiliti ini menyokong wawasan negara untuk memperluas akses kepada pendidikan dan memupuk masyarakat yang menghargai pembelajaran sepanjang hayat," katanya pada majlis makan malam gala ulang tahun OUM ke-25 di sini hari ini.
Turut hadir, Pro-Canselor OUM Tan Sri Azman Hashim dan Presiden/Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang.
Dr Wan Azizah berkata kepantasan perubahan teknologi telah memberikan instrumen baharu yang hebat, namun mempunyai risiko yang signifikan.
"Membina Malaysia yang lebih baik bermakna membangunkan rakyat secara menyeluruh, mengimbangi pencapaian dengan nilai murni. Inilah yang dimaksudkan dengan MADANI dan OUM berdiri sebagai contoh yang menyinar," katanya.
Beliau berkata OUM telah membuka pintunya kepada ribuan pelajar sepanjang 25 tahun ini, daripada golongan dewasa yang bekerja dan profesional muda kepada atlet, selebriti, pesara, malah banduan, dengan peluang untuk melanjutkan pendidikan tinggi mengikut keperluan masing-masing.
Dr Wan Azizah berkata OUM yang digambarkan sebagai lebih daripada sekadar universiti, menjadi "talian hayat" kepada mereka yang berazam untuk belajar, di Malaysia dan luar negara.
"Saya sentiasa percaya bahawa pendidikan tidak seharusnya dihadkan oleh umur, latar belakang atau keadaan. Sumbangan OUM sebagai universiti digital terkemuka di Malaysia memainkan peranan utama dalam merealisasikan perkara ini. Saya teruja mengetahui pelajar tertua yang berjaya menamatkan pengajian berusia 90 tahun pada 2024, dengan MBA!" katanya.
Beliau berkata pengaruh OUM telah melangkaui rekod akademik dan statistik pengijazahan, malah menyentuh kehidupan secara peribadi dengan mengukuhkan keluarga, mengangkat komuniti dan memberikan manfaat kepada kemajuan negara.
Lima nilai teras OUM katanya, iaitu integriti, profesionalisme, keprihatinan, daya cipta dan kerja berpasukan sejajar dengan gagasan MADANI bahawa keseimbangan pembangunan berakar pada kebersamaan, belas kasihan dan khidmat bakti.
Sementara itu, Ahmad Izanee berkata sambutan malam ini bertemakan 25 Years of Humanising Digital Education menekankan keyakinan institusi berkenaan tentang kepentingan berterusan hubungan kemanusiaan dalam pembelajaran.
"Walaupun kita menerima inovasi teknologi dalam pendidikan, kita tetap berpijak pada keyakinan bahawa hubungan kemanusiaan yang benar-benar mengubah pengalaman pembelajaran," katanya.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2000 di bawah konsortium 11 universiti awam Malaysia, OUM telah mengeluarkan lebih 120,000 siswazah dan kini menawarkan 61 program secara dalam talian sepenuhnya yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia, daripada peringkat diploma hingga doktor falsafah.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun OUM, pelbagai program akan diadakan termasuk menanam 2,500 batang pokok di bawah kempen Save Our Earth, syarahan umum oleh lima Felow Global mengenai masa depan pendidikan digital, serta ekspedisi ke Gunung Kinabalu pada September dan larian santai Oktober ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial