AM

Belanjawan 2026 Pacu Reformasi Sektor Awam, Perkukuh Tadbir Urus

08/08/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Belanjawan 2026 akan memacu reformasi sektor awam negara dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan dan menjamin kemampanan fiskal.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan Pra-Belanjawan 2026 memaklumkan ia, antaranya, dengan memodenkan perkhidmatan awam, memperkenalkan kerangka dan perundangan yang meningkatkan prestasi perkhidmatan awam serta memperkukuh prinsip integriti dan tadbir urus beretika.

“Reformasi ini disokong oleh komitmen untuk mengoptimumkan sumber awam, meminimumkan ketirisan dan memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Dalam meningkatkan piawaian tadbir urus negara, MOF menyebut Belanjawan 2026 dirangka melalui pembaharuan sedia ada di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Usaha ini diperkukuh melalui pengenalan rang undang-undang utama termasuk Akta Perolehan Kerajaan, Akta State-Owned Enterprises, Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat bagi memperkukuh ketelusan, mengurangkan ketirisan sumber awam serta memulihkan keyakinan pasaran dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula akan terus menjadi tonggak dalam penguatkuasaan dan pemulihan aset rentas sempadan termasuk membanteras jenayah siber dan menjejak aliran aset digital.

Dalam aspek pemodenan kewangan awam melalui teknologi, kerajaan sedang giat mendigitalkan sektor awam bagi mengoptimumkan kutipan hasil, mengurangkan ketirisan dan memperbaiki penyampaian program.

Ini termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan automasi seperti yang digunakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penguatkuasaan lebih cekap dalam mengesan ketidakpatuhan cukai.

Kerajaan MADANI juga mempergiat usaha meningkatkan kecekapan dan akses perkhidmatan melalui inisiatif GovTech di seluruh negara menerusi aplikasi seperti MyVisa 2.0 dan MyJPJ serta pusat sehenti digital yang dapat mengurangkan birokrasi dan melancarkan urusan rakyat.

“Meskipun sebahagian perkhidmatan dan kawasan masih memerlukan kehadiran secara fizikal berikutan kekangan infrastruktur atau prosedur, kerajaan kekal komited dalam menangani cabaran ini melalui inovasi berterusan dan peluasan inisiatif GovTech bagi memastikan perkhidmatan awam disampaikan dengan lebih pantas, inklusif dan berorientasikan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Bagi reformasi perkhidmatan awam untuk kerajaan masa hadapan, Belanjawan 2026 akan memacu penilaian berasaskan prestasi, pembangunan keupayaan dan pendekatan akauntabiliti di bawah Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867).

Menurut MOF, langkah itu bertujuan mewujudkan perkhidmatan awam yang tangkas, celik digital dan bersedia untuk melaksanakan Ekonomi MADANI dengan integriti dan pantas.

“Kerajaan juga kekal komited dalam meningkatkan ease of doing business dengan menyelaras peraturan, memudah cara proses perniagaan dan mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan