KUCHING, 7 Ogos (Bernama) -- Denmark komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Sarawak dalam bidang strategik termasuk teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan serta sektor berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI).
Duta Denmark ke Malaysia Kirstine Vangkilde Berner berkata, Denmark amat menghormati kepimpinan politik Sarawak dalam usaha memacu peralihan kepada teknologi hijau.
“Delegasi perniagaan kami hadir menawarkan pelbagai penyelesaian teknologi hijau, termasuk hidrogen hijau, bahan api penerbangan mampan (SAF) dan teknologi pengangkutan karbon.
“Ini merupakan lawatan rasmi pertama saya ke Sarawak sejak Kedutaan Denmark di Malaysia dibuka semula tahun lepas dan ia menjadi langkah penting ke arah memperdalam kerjasama dua hala,” katanya selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini hari ini.
Berner berkata Denmark melihat Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai hab penting di rantau ini serta bersedia menjalinkan kerjasama perdagangan dan pelaburan yang saling menguntungkan.
“Kami juga berminat dalam bidang seperti pendidikan, pembangunan pelabuhan, aeroangkasa, sains kuantum dan AI yang dikenal pasti sebagai sektor berpotensi untuk pembangunan bersama,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak untuk melawat Denmark dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial