AM

Kes Zara Qairina: Orang Ramai Diingatkan Tidak Sebar Maklumat, Gambar - AGC

06/08/2025 08:24 PM

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik dan menyebarkan maklumat yang belum ditentusahkan, termasuk gambar berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir. 

Dalam kenyataan hari ini AGC memaklumkan penyebaran maklumat yang belum ditentukan kesahihannya dan gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan siasatan pihak berkuasa di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

"Jabatan ini menyeru orang ramai agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

"Penularan kandungan itu berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihak berkuasa yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Isnin lepas, AGC memaklumkan telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Siasatan kes tersebut kini sedang dilengkapkan Polis Diraja Malaysia selepas dipulangkan semula oleh AGC semalam. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan