AM

Garis Panduan Ai Dirangka Perangi Penipuan Dalam Talian - Gobind

05/08/2025 08:27 PM

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang membangunkan garis panduan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang dijangka siap awal tahun 2026, kata menterinya Gobind Singh Deo.

Beliau berkata antara garis panduan yang sedang dibangunkan termasuk Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data, Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data, dan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.

“Itu antara inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Digital bagi memerangi penipuan dalam talian. Ini kerana penipuan sebegini yang kini didorong oleh AI seperti video 'deepfake' (palsu asli atau palsu tulen) dan peniruan suara semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian dilaporkan pada 2024.

Angka berkenaan meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan kerugian berjumlah RM1.58 bilion.

Dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, Malaysia merekodkan 12,110 kes penipuan dalam talian, melibatkan penipuan seperti tawaran e-dagang palsu, pinjaman palsu, dan skim pelaburan tidak wujud, dengan jumlah kerugian mencecah RM573.7 juta.

Selain itu, Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara juga telah membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI di Sektor Awam (GPAISA) bagi menyokong jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan penggunaan teknologi AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip tadbir urus serta pematuhan undang-undang dan hak asasi.

“Kerajaan turut melaksanakan program latihan dan peningkatan kapasiti kepada agensi penguat kuasa dan penjawat awam dalam bidang keselamatan siber dan AI melalui ‘AI Untuk Rakyat’ dan program latihan MD Workforce di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” kata Gobind.

CyberSecurity Malaysia juga sedang membangunkan sebuah aplikasi berasaskan AI dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengesahkan ketulenan gambar dan video, bertujuan membantu siasatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pemalsuan identiti dan penyebaran fitnah digital.

Gobind menzahirkan komitmen kementerian untuk memperhebat usaha membangunkan ekosistem AI yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan bagi menangani jenayah penipuan secara menyeluruh, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan keselamatan siber.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan