AM

PERKESO, Tiga Rakan Strategik Perkukuh Kerjasama Mantapkan Sistem Perlindungan Sosial

05/08/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pemeteraian memorandum kerjasama (MoC) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersama tiga rakan strategik diyakini berupaya memperkukuh matlamat ke arah membina sistem perlindungan sosial yang menyeluruh, terangkum dan mampan. 

PERKESO menerusi kenyataan hari ini memaklumkan MoC itu melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan One Hope Welfare and Charity.

Pemeteraian MoC itu dibuat sempena Kongres Sinergi Sosial hari ini yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

"Asas kerjasama PERKESO dengan PERDA, YPKDT dan One Hope Welfare and Charity antara lain meliputi penyaluran prospek penerima bantuan secara rentas agensi, perkongsian dan pemadanan data secara bersasar serta pemerkasaan modal insan melalui pembangunan kemahiran dan sokongan sosioekonomi," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Shamsul Azri dalam kenyataan sama dipetik berkata Kongres Sinergi Sosial selari dengan hasrat kerajaan MADANI menjadikan dasar sosial lebih manusiawi, responsif dan berteraskan rakyat.

“Ia bukan sekadar slogan tetapi ikhtiar strategik untuk mengimbangi pembangunan material dengan kesejahteraan insan,” katanya.

Kongres Sinergi Sosial edisi ketiga itu dihadiri lebih 400 peserta yang mengangkat tema ‘Budaya atau Proses’ bagi tujuan mengupas kepentingan menggabungkan budaya kemanusiaan dengan sistem penyampaian yang cekap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan