KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan memulakan majlis konsultasi Belanjawan 2026 bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh Khamis ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata konsultasi berkenaan akan berlangsung sehingga draf akhir belanjawan disiapkan, dengan mengumpul sebanyak mungkin input bagi memastikan Belanjawan 2026 memenuhi kehendak rakyat dan sektor swasta.
“Ia (majlis konsultasi) adalah sebahagian daripada usaha untuk mengumpulkan maklum balas daripada pelbagai pihak serta harapan mereka mengenai isi kandungan Belanjawan 2026,” katanya selepas menyampaikan ucaptama di Forum Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) Nexus (CNF25), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Menurut Fahmi, belanjawan itu akan mengambil kira pelbagai inisiatif yang sedang berjalan serta dasar yang sedang dilaksanakan dan dirangkumkan sekali dengan situasi geopolitik dan cabaran-cabaran semasa.
Selain itu, beliau berkata Belanjawan 2026 juga akan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang telah digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan penyumbang utama kepada peluang pekerjaan di Malaysia.
“PMKS merupakan denyut nadi ekonomi negara dan secara umumnya PMKS menyumbang lebih kurang 70 peratus daripada pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Jadi, adalah penting untuk pihak kerajaan memahami isu-isu yang dihadapi oleh PMKS,” katanya.
Mengikut Takwim Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025, Belanjawan 2026 dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Okt depan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2026 dan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 akan bersifat pragmatik dan praktikal, serta memacu kesinambungan kemajuan negara. Ia juga menjadi antara usaha untuk memperkukuh ekonomi, menangani ketidaktentuan ekonomi dan membina masyarakat yang lebih adil dan saksama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial