AM

Kempen Internet Selamat Beri Kesedaran Risiko, Ancaman Dalam Talian Kepada Murid

05/08/2025 09:49 AM

KUALA NERANG, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 101 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lamdin di sini, menyertai Kempen Internet Selamat yang bertujuan memberi kesedaran berkaitan risiko dan ancaman dalam talian terhadap kanak-kanak.

Kempen anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu juga adalah inisiatif untuk meningkatkan kefahaman murid khususnya berusia bawah 13 tahun mengenai penggunaan Internet secara umum dan pelbagai fungsi aplikasi Internet.

Kali ini kempen itu memfokuskan kepada komuniti Siam memandangkan sekolah dipilih majoriti pelajarnya terdiri daripada etnik Thai dan program berkenaan menggunakan modul Rancangan Sesi Pengajaran (RSP) Modul Murid Sekolah Rendah (tujuh hingga sembilan tahun) dan RSP Modul Murid Sekolah Rendah (10 hingga 12 tahun).

Penolong Kanan Pentadbiran SK Lamdin Amran Salleh berkata program terbabit mampu meningkatkan kesedaran murid mengenai penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab, khususnya bagi mereka berusia bawah 13 tahun yang keupayaan mentalnya masih belum cukup bersedia.

"Sebanyak 10 fasilitator dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kluster Padang Terap ditugaskan melaksanakan aktiviti-aktiviti modul ini," katanya pada majlis penutup kempen itu yang turut dihadiri Timbalan Pengarah MCMC Kedah Sharliza Saary.

Amran berkata kempen itu juga memberi kesedaran tentang bahaya penggunaan Internet secara tidak terkawal dan menggalakkan aktiviti alternatif lebih positif.

"Program ini berjaya mencapai objektifnya dengan meningkatkan pemahaman murid mengenai literasi digital, had umur media sosial, risiko buli siber serta langkah keselamatan dalam penggunaan Internet," katanya.

Difahamkan sebelum pelaksanaan modul menerusi kempen itu, sebanyak 78 murid sekolah berkenaan didapati mempunyai akaun media sosial, namun selepas diberi pendedahan dan penerangan, hampir kesemua murid bersetuju untuk tidak menggunakan media sosial hingga usia mencapai 13 tahun.

Pada akhir program itu, Norhazifah Mohd Noor diangkat sebagai Ikon K-DAT KIS Kategori Guru, manakala Plai Foon Mongkon dipilih selaku Ikon K-DAT KIS Kategori Pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan