KOTA BHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Kolej Tingkatan Enam pertama di Machang, Kelantan, yang kini dalam proses pembinaan, dijangka siap dan mula beroperasi tahun hadapan, sekali gus memberi kemudahan pembelajaran yang lebih selesa kepada pelajar, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, sepanjang lawatan kerjanya selama tiga hari ke Kelantan, beliau sempat meninjau perkembangan projek kolej berkenaan.
“Saya sempat melihat projek pembinaan Kolej Tingkatan Enam di Machang dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual. Insya-Allah, tahun hadapan kolej ini boleh mula beroperasi dan pelajar dapat belajar di lokasi yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan bahawa keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kelantan kekal cemerlang dan konsisten, justeru memerlukan perhatian berterusan.
Menurutnya, selain penekanan terhadap penyediaan infrastruktur, aspek kualiti guru dan pelajar juga tidak boleh diabaikan.
“Sepanjang lawatan ini, saya turut mengadakan pertemuan bersama guru-guru serta pelajar Tingkatan Enam bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial