AM

Hujan Tidak Halang Orang Ramai Lihat Proses Gali Semula Kubur Zara Qairina

09/08/2025 06:31 PM

SIPITANG, 9 Ogos (Bernama) -- Hujan lebat tidak menghalang orang ramai hadir ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol di sini hari ini, bagi menyaksikan proses gali semula kubur pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati mereka tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan itu difahamkan bagi memastikan proses gali semula berjalan lancar.

Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba di tanah perkuburan pada 4.56 petang.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM akan menggali semula kubur Zara Qairina secepat mungkin untuk melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar itu susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam. 

AGC mengeluarkan arahan itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan, selepas mendapati terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan