POLITIK

Belanjawan 2026: KPKT Mohon Tambah Peruntukan Untuk Prasarana, Sasar 10,000 Projek Setahun

09/08/2025 04:24 PM

TAIPING, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon tambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2026 bagi menggandakan pelaksanaan baharu dan naik taraf prasarana awam yang disasarkan 10,000 projek setahun.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kewangan hujung bulan ini bagi penambahan dana menerusi komponen peruntukan pembangunan di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (BP1) kementerian itu.

“Kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan MADANI, maka di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sempena pembentangan belanjawan pada Oktober nanti, KPKT akan meminta tambahan peruntukan BP1 di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan.

“KPKT berjaya melaksanakan 6,611 projek tahun lepas, menjadikan KPKT sebagai kementerian berprestasi paling tinggi di Malaysia. Kini, kita bukan sahaja berjiwa besar… kita sasarkan 10,000 projek dalam satu tahun untuk prasarana awam rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Sentuhan Kasih KPKT Taiping di Pasar Taiping dan Pasar Siang Malam di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Mansor Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir.

Terdahulu, Nga turut melawat Pasar Awam Kamunting, Projek Tebatan Banjir di Taman Kamunting Maju, Kampung Baru Aulong serta Laman MADANI Taman Tasik Taiping yang menempatkan Projek Pengindahan Air Pancut Taman Tasik sebagai mercu tanda Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.

Beliau berkata pihaknya akan bertemu dengan Perdana Menteri yang Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk permohonan menambah sekali ganda peruntukan bagi BP1 kerana perkara itu antara fokus utama KPKT bagi mempertingkatkan prasarana awam, infrastruktur awam dan kemudahan masyarakat.

Semalam Anwar berkata kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt ini.

Sementara itu, Nga berkata KPKT akan menyalurkan peruntukan tambahan RM10.4 juta bagi projek pembangunan infrastruktur serta kerja naik taraf membabitkan 35 projek di Taiping.

Beliau berkata peruntukan berkenaan disalurkan Kerajaan MADANI melalui Program Pembangunan KPKT di bawah Rolling Plan 5 (RP5) 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang melibatkan lima jabatan dan agensi di bawah KPKT sebagai pelaksana utama.

Nga berkata antara projek yang telah diluluskan ialah sembilan projek menaik taraf infrastruktur Bandar Taiping, Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di kawasan Lapang Tanjung Sungai Mas di Taiping, Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) serta 24 projek berkaitan inisiatif pembinaan rumah baharu dan pembangunan Kampung Baru.

“Pelaksanaannya akan disegerakan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini juga.

“Selain itu, di Taiping terdapat lima lagi projek besar sedang dilaksanakan antaranya menaik taraf Taman Tasik Taiping membabitkan kos RM10 juta yang telah pun diluluskan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan