JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Penjawat Awam Di Perlis Direman Bantu Siasatan Salah Guna Jawatan

20/08/2025 12:53 PM

KANGAR, 20 Ogos (Bernama) -- Dua penjawat awam di sebuah jabatan di Perlis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan membabitkan perolehan kerajaan negeri bernilai hampir RM100,000.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kedua-dua lelaki itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis, masing-masing pada kira-kira 2 petang dan 10 malam, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar pagi ini untuk permohonan reman.

Beliau berkata permohonan reman terhadap Penolong Pegawai Tadbir berusia 36 tahun dan Pembantu Tadbir Kanan berusia 42 tahun itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Nurshahida Abdul Rahim.

"Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan salah guna kuasa melibatkan perolehan kerja di jabatan tersebut, antaranya perkhidmatan mencuci karpet bagi jabatan berkenaan dari tahun 2020 hingga 2024," katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalahguna jawatan untuk kepentingan peribadi.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan