IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas 33,500 kilogram (kg) beras putih Thailand bernilai kira-kira RM400,000 yang dibawa menggunakan sebuah lori treler dalam Op Taring Bravo 4 di Gerik semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata operasi yang bermula sekitar 3.15 petang hingga 5.45 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan beras dari Thailand untuk pasaran tempatan.
“Pasukan operasi menahan sebuah lori treler jenis Volvo berwarna oren yang membawa 670 guni beras putih Thailand, setiap guni seberat kira-kira 50 kilogram ketika dalam perjalanan ke sebuah gudang beras di Perak.
“Operasi itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Cawangan Risik Batalion 18 PGA dengan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Perak, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrum berkata kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) selain tangkapan serta barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial