AM

Kerajaan Sedia Pertimbang Bantuan Tambahan Rm100 Untuk Mahasiswa - Anwar

18/08/2025 06:07 PM

CYBERJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian bantuan tambahan RM100 secara sekali beri (one-off) kepada mahasiswa sebagai usaha membantu golongan itu menangani cabaran kos sara hidup, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hal itu akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini. 

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan yang dikemukakan seorang wakil pelajar Multimedia University (MMU) semasa sesi Temu Anuar di universiti berkenaan hari ini.

Menurut Anwar,  kerajaan sebelum ini telah meluluskan bantuan RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas termasuk pelajar.

"Saya terima baik cadangan presiden (wakil pelajar) dan saya akan beri pertimbangan yang wajar untuk belanjawan bulan Oktober ini," kata Anwar.

Menyentuh mengenai kos sara hidup, beliau sekali lagi menegaskan bahawa harga barang asas seperti minyak masak, ayam, telur dan gula di Malaysia masih kekal antara yang terendah di rantau ini.

“Kalau ditanya apa masalah yang paling saya bimbang sebagai perdana menteri, saya masih runsing tentang isu kemiskinan tegar, kemiskinan rakyat serta beban yang mereka tanggung. Itu memang perkara yang mesti kita tangani sebaik mungkin.

"Tetapi percayalah, bila kita naik gaji baru-baru ini, gaji menteri, gaji timbalan menteri dan Ahli Parlimen, tidak kita naikkan," katanya.

Anwar turut mengulangi pendirian bahawa setiap sistem perolehan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus agar lebih banyak penjimatan dapat dilakukan.

Beliau juga menyentuh mengenai usaha kerajaan membanteras ketirisan dana yang menurutnya telah membolehkan hasil negara diselamatkan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

"Berapakah yang diperolehi dalam satu, dua tahun yang lalu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari dana yang dirampas, itu cecah sampai RM4 bilion, RM5 bilion.

"Bayangkan, RM5 bilion itu pergi ke orang-orang tertentu (dengan) cara haram, dalam talian, judi dan macam-macam. Tapi ini kita lakukan untuk apa? RM5 bilion bukan kepada saya, bukan kepada menteri, RM5 bilion itu untuk kita pulang kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan