AM

Hubungan Erat ASEAN Buka Ruang Kerjasama Pertanian, Tenusu - PM Anwar

16/08/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Hubungan erat Malaysia dengan rakan serantau khususnya ASEAN membuka ruang kerjasama luas dalam pelbagai bidang termasuk pertanian dan tenusu berasaskan keyakinan serta kepercayaan rakan industri serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata kejayaan sektor itu turut disokong oleh kesiapsiagaan sektor swasta, semangat kental usahawan tempatan serta integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) yang sekali gus mempertingkatkan produktiviti, mengukuhkan rantaian nilai industri tenusu dan memacu inovasi pertanian moden.

“Hari ini saya berpeluang bersama masyarakat setempat di Pondok Tanjung (Perak) sempena peluncuran Karnival Usahawan Tenusu MADANI yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam memacu industri tenusu negara.

“Dalam ucapan, saya tekankan bahawa Malaysia merupakan negara yang bertuah bukan sahaja kaya dengan sumber tetapi turut menikmati hubungan erat dengan rakan-rakan serantau khususnya ASEAN,” kata beliau dalam hantaran Facebook hari ini. 

Perdana Menteri berkata melalui Ekonomi MADANI, kerajaan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan sektor swasta akan terus memperluas peluang ekonomi wilayah, mewujudkan lebih banyak pekerjaan, mengukuhkan kedudukan usahawan tempatan serta memastikan hasil pembangunan dinikmati rakyat.

“Sebagai komitmen segera, saya turut umumkan peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja infrastruktur mendesak di kawasan Daerah Larut, Matang dan Selama,” kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI: Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak di Larut, Perak.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan