JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Dua Bot Penumpang Tanpa Lesen Di Perairan Kuala Besut

15/08/2025 01:18 PM

JERTIH, 15 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot penumpang yang beroperasi tanpa lesen di perairan Kuala Besut di sini semalam. 

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata kedua-dua bot ditahan pada 10.51 pagi dan 12.18 tengah hari, masing-masing di lokasi 11.3 batu nautika dan 11.4 batu nautika timur laut dari muara Kuala Besut. 

“Susulan itu kedua-dua tekong warga tempatan bersama seorang kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 ,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil memaklumkan ketika ditahan kedua-dua bot membawa keseluruhan 17 penumpang.

Hamiludin berkata pihaknya memandang serius pengendalian bot penumpang yang tidak mematuhi peraturan keselamatan dan kegagalan mempamerkan lesen serta beroperasi tanpa dokumen yang sah kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menjejaskan keselamatan penumpang.  

Beliau berkata APMM Terengganu akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan terutama menjelang musim cuti persekolahan dan cuti umum nanti.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan