AM

Malaysia Pintu Masuk Strategik Produk Halal Korea Selatan

12/08/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab halal global apabila menjadi pintu masuk strategik produk halal Korea Selatan ke pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama dengan Korea Selatan penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara dengan mempelbagaikan sumber bekalan halal, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.

“Insya-Allah, usaha seperti ini akan diteruskan demi masa depan makanan halal yang lebih terjamin untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam lawatan ke Korea Selatan baru-baru ini, beliau meninjau operasi rumah sembelihan halal pertama negara itu, Handawoon FSL Ltd, yang diiktiraf bagi melihat sendiri proses penyembelihan dan pelapahan  daging lembu premium Hanwoo yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.

“Saya ingin memastikan bekalan makanan halal yang sampai ke Malaysia bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi juga benar-benar menepati piawaian syariah dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia menjadi satu-satunya negara penerima daging Hanwoo halal selepas Handawoon FSL mendapat kelulusan mengeksport ke negara ini pada Mei 2023.

Syarikat itu juga berusaha menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus membuktikan kemampuan Korea Selatan menghasilkan produk halal yang mematuhi piawaian antarabangsa walaupun bukan negara Islam.

– BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan