PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi pratonton khas filem Bollywood bertajuk, Taj Mahal: An Eternal Love Story bagi menyantuni sahabat lamanya, pengarah dan penerbit filem, Akbar Khan.
Anwar meluangkan kira-kira 30 minit menonton filem epik yang mengisahkan cinta abadi Maharaja Mughal Shah Jahan dan isterinya Mumtaz Mahal, yang menjadi inspirasi pembinaan monumen ikonik Taj Mahal di Agra, India.
Filem berskala besar arahan Akbar Khan itu menampilkan lokasi penggambaran asli di India serta sinematografi yang menonjolkan keindahan seni bina Mughal, disertai barisan pelakon ternama Bollywood seperti Kabir Bedi, Zulfikar Sayed, Manisha Koirala, Arbaaz Khan dan Sonya Jehan.
Karya ini mengangkat tema pengorbanan, cinta sejati dan warisan budaya, sebagai penghormatan kepada satu daripada keajaiban dunia yang diiktiraf UNESCO.
Taj Mahal: An Eternal Love Story yang mula ditayangkan pada 2005, pernah dianggap antara produksi Bollywood paling mahal pada zamannya, mempamerkan kekayaan sejarah dan seni bina India kepada dunia.
Tayangan itu turut disertai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N Reddy, Duta Poland ke Malaysia Krzysztof Dobrowolski, dan Timbalan Ketua Perwakilan Mesir Fatma AlZahraa Hassan Abdelkawy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial