JENAYAH & MAHKAMAH

Kubur Zara Qairina Akan Digali Semula Segera Untuk Lengkapkan Siasatan - Saifuddin Nasution

09/08/2025 12:56 PM

MACHANG, 9 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Zara Qairina Mahathir secepat mungkin untuk melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu dilaksanakan susulan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

"Pihak polis akan melaksanakan keputusan itu. Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) pagi tadi bahawa pihak polis akan segera melakukan prosedur seterusnya.

“Tumpuan polis adalah untuk mengemas kini siasatan, mengumpul semua bukti, dan dalam menjalankan tugas ini, pihak polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan kerana kita perlu berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat termasuk keluarga arwah Zara dan pihak sekolah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Machang, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin Nasution turut memberi jaminan polis akan memaklumkan perkembangan terkini kes berkenaan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata prosedur bedah siasat (post-mortem) dan penggalian semula (exhumation) akan dilaksanakan dengan kadar segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan yang dijalankan adalah mengikut lunas undang-undang, fakta dan keterangan yang diperoleh.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan