PORT DICKSON, 4 Ogos (Bernama) -- Polis mengenal pasti seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang terlibat berkaitan pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata lelaki tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan dan bendera tersebut juga diturunkan semula pada hari yang sama.
“Siasatan masih diteruskan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Maslan berkata laporan berkenaan isu tersebut dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (penggunaan tidak wajar) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Beliau berkata polis menasihatkan orang awam untuk tidak viralkan isu ini yang boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam.
Media semalam melaporkan SJKC Chung Hua Port Dickson memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan, Jumaat lepas.
Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, pihak berkenaan meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial