AM

Malaysia Sedia Realisasi Aspirasi Sebagai Hab Global Untuk ADR — Fadillah

09/10/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Aspirasi Malaysia untuk menjadi hab global yang berkecuali dan berwibawa bagi penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) bukan lagi satu impian, tetapi realiti yang boleh dicapai, disokong oleh kesediaan negara, lokasi strategik di tengah-tengah ASEAN dan keunggulan budaya serta sistem perundangannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kedudukan Malaysia di sepanjang koridor perdagangan tersibuk di dunia memberikan kelebihan istimewa dalam merapatkan hubungan antara Timur dengan Barat, menawarkan keberkecualian, kefahaman budaya dan kredibiliti undang-undang.

"Badan kehakiman kita yang menyokong timbang tara, pembaharuan undang-undang yang kukuh dan komuniti profesional yang berbilang budaya menjadi asas kepada keberkecualian dan kepercayaan. Sesungguhnya, kepelbagaian Malaysia adalah kekuatan terbesar kita yang membolehkan kita menghargai dan mengharmonikan perbezaan, yang merupakan inti pati sebenar ADR.

"Saya ingin memuji Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, atas visi dan tekad beliau dalam memacu transformasi undang-undang dan ADR negara, memperkukuh komitmen Malaysia terhadap keadilan, kebolehcapaian dan keadilan progresif," katanya dalam ucapan eksekutif pada Minggu ADR Asia 2025 di sini hari ini.

Selain Azalina, program itu turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Bersempena dengan Minggu ADR Asia 2025, Fadillah turut melancarkan "Asian International Arbitration Centre’s (AIAC) Suite of Rules 2026", menandakan pencapaian penting ke arah memperkukuh rangka kerja ADR negara.

Beliau berkata pelancaran itu, bersama dengan penubuhan Mahkamah Timbang Tara, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), bukan sahaja menandakan pembaharuan institusi, tetapi juga bab baharu dalam kebebasan institusi, kecemerlangan prosedur dan amalan terbaik global, menjadi asas kepercayaan yang akan membentuk masa depan ADR.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dalam dunia yang sering diwarnai dengan konflik dan pertikaian, ADR menawarkan laluan dialog terhadap perselisihan dan kerjasama berbanding perbalahan.

"Hal ini mencerminkan nilai yang menjadi teras visi Malaysia MADANI, iaitu keterangkuman, belas ihsan dan tanggungjawab bersama, prinsip yang membimbing cara kita mentadbir, berinteraksi dan menyelesaikan masalah. ADR memberikan bentuk, struktur dan tujuan kepada nilai ini, mengubah pertikaian kepada dialog, dan perselisihan kepada kemajuan.

"Di seluruh Asia dan peringkat global, kita menyaksikan transformasi besar dalam cara pertikaian diselesaikan. Kebercualian, integriti dan kredibiliti menjadi penanda aras utama bagi timbang tara yang dipercayai," katanya.

Fadillah turut menekankan Akta Timbang Tara (Pindaan) 2024 dan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024, bersama-sama pembaharuan institusi AIAC, mewakili lonjakan besar dalam usaha memodenkan rangka kerja penyelesaian pertikaian di Malaysia.

"Perkara ini bukan sekadar penambahbaikan prosedur, tetapi pembaharuan transformasi yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan landskap ADR global yang dilakukan sambil mengekalkan ciri kebangsaan, memastikan kebolehcapaian, ketelusan dan kepercayaan kekal sebagai nadi sistem kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan